Thursday, November 25

Kau dan Aku

KISAH KAU & AKU

Dulu, ketika kau masih belum remaja
Aku, laksana teman karibmu
Dengan berwudhu', Aku kau sentuh
Dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku, kau bawa, kau junjung dan kau letakkan di atas rehal
Aku, kau baca saban hari malam atau siang
Aku, kau dakap dan kau kucup mesra sebelum kau simpan

Kini, kau sudah dewasa
Hubungan di antara kita tidak semesra dulu lagi
Kau seperti tidak lagi ingin hampir padaku
Aku menjadi bahan usang yang jarang lagi kau sentuh
Apa lagi untukku harap kau dakap, junjung maupun kau kucup mesra
Aku, kau biarkan sendirian

Kini, Aku kau simpan entah di mana
Mungkin di celah-celah buku-bukumu yang lain
ataupun di tepi meja di kamarmu
sehingga kau lupa di mana Aku telah kau letakkan
Ada kala, Aku sudah kau anggap hanya layak meengisi setormu saja
Ada ketika, Aku hanya dijadikan sekadar hantaran perkahwinan
Mungkin supaya keluargamu dianggap kuat iman
Atau lebih dahsyat
Aku hanya kau buat sebagai tangkal untuk menghalau iblis dan syaitan

Kini, Aku lebih banyak tersingkir daripada kehidupanmu
Aku kau biarkan sendirian dan kesepian
Di dalam almari, di dalam laci
Atau di tempat yang kau sendiri sukar lihat
Aku, kau pendamkan dari pandangan dan kegunaan

Wahai teman
Jika Aku kau baca selalu dan kau hayati
Di kuburmu nanti
Aku akan pasti datang sebagai pemuda gagah tampan
Membantumu membela diri
Dalam perjalananmu menuju ke alam akhirat
Kerana Akulah "Al- Qur'an", kitab sucimu
Yang sentiasa setia menemani dan melindungimu

Peganglah Aku kembali
Bacalah Aku setiap hari
Ayat-ayat yang ada padaKu adalah ayat-ayat suci
Yang berasal daripada Allah Azzawajalla
Tuhan Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Perkasa
Yang disampai oleh Jibril kepada RasulNya

Keluarkanlah Aku segera daripada almari dan lacimu
Letakkanlah Aku sentiasa di atas meja di tempat kerjamu
Agar engkau akan sentiasa mengingatkan Tuhanmu
Apabila terpandang dan membacaKu

Sentuhilah Aku kembali
Baca dan pelajari
Pada setiap pagi, tengah hari, petang dan malam hari
Walaupun hanya beberapa ayat kau hayati

Ingat ketika dulu
Masa kau masih kecil
Ketika itu di rumah tok guru
Atau di surau kecil di kampungmu yang terpencil

Jangan lagi kau biarkan Aku sendiri
Hidupmu tanpaKu dalam suasana bisu dan sepi...



Credit to the unknown writer. Edited a bit by me.

Tersentak sebentar bila membacanya. Harap anda jua begitu. Tersedar dari kelalaian duniawi sementara.

Warattilil QURAAN tartiilaa...

1 comment:

azie pink said...

salam....me...also quite shock when read this words

cz i'm busy with my study.....to pass the exam n hope that i can fly to nz on 2009...insyaALLAH

but i realised something missing...

donno what's that...but now i know!!!!!thanks